Konstabel didakwa bunuh rakan sekerja

[email protected]

Sibu: Seorang konstabel polis didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh rakannya, pada 6 Mei lalu.

Muhamad Nur Alif Mazlan, 28, dituduh membunuh Konstabel Norhalim Tumiran, 24, di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9 antara 5.45 petang hingga 6.30 petang pada hari berkenaan.

Tiada pengakuan diambil daripada tertuduh ketika pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hazwani Hanim Ramli.

Siti Hazwani kemudian menetapkan 6 Julai sebagai tarikh untuk sebutan semula kes berkenaan.

Dua lagi konstabel yang berusia 21 dan 23 tahun, dibebaskan dan akan dipanggil sebagai saksi bagi kes itu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Zulfadhli Tuah dan Rex Heng Yi Min, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian pada 6 Mei lalu, Norhalim ditemui tersandar di sofa rumah sewa rakannya dengan kesan kecederaan akibat tembakan di kepala.

Mangsa yang tinggal di rumah transit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pergi ke rumah sewa rakannya di Lorong Permai Timur 9, untuk bermain permainan video sementara menunggu waktu berbuka puasa.

Dia baru sebulan bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Sibu selepas menamatkan latihan asas Konstabel polis.

Jenazah Norhalim dikebumikan di kampung halamannya di Felda Bukit Damar di Lanchang, Temerloh, Pahang pada 9 Mei lalu.

Allahyarham meninggalkan balu, Nor Fitrah Ramli, 25, dan anak perempuan mereka, Nur Asyfa Alisha yang berusia 14 bulan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.