MIDF semak turun unjuran ekonomi Malaysia

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada kadar 4.6 peratus tahun ini bersandarkan jangkaan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh membabitkan Fasa 1 hingga 3 dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbaharu diumumkan kerajaan.

MIDF Research dalam nota penyelidikan, berkata unjuran lebih rendah berbanding 6.2 peratus itu berdasarkan kesan daripada penutupan sepenuhnya dalam PKP 4.0, yang mana impaknya lebih rendah berbanding PKP 1.0.

“Pengelasan sektor penting juga lebih meluas kali ini berbanding PKP 1.0 termasuk kemasukan sektor pembinaan dan perlombongan dalam senarai.

“Selain itu, industri sokongan yang terbabit dalam rantaian bekalan sektor penting seperti percetakan, pembungkusan dan perkhidmatan perniagaan berkaitan turut dibenarkan beroperasi,” katanya.

Bagaimanapun, firma penyelidik itu menjelaskan industri berkaitan pengguna dijangka terdedah kepada aktiviti perbelanjaan pengguna yang lebih lemah berikutan sekatan pergerakan lebih ketat membabitkan jarak lingkungan 10 kilometer, selain pusat membeli-belah kecuali perniagaan penting ditutup.

“Pengurangan mobiliti dan permintaan lebah akan menjejaskan prestasi industri runcit dan pemborong, hartanah (terutama kediaman), automotif serta pengangkutan,” katanya.

MIDF Research berkata, walaupun terdapat risiko penurunan ekonomi, masih terdapat lebih banyak faktor yang akan mengehadkan atau mengurangkan kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi berbanding ketika PKP 1.0.

“Sebagai contoh, penyesuaian terhadap digitalisasi lebih tinggi ketika ini di mana kebanyakan perniagaan dan pengguna menjadi semakin biasa dengan pasaran dalam talian dan platform penghantaran.

“Justeru, pengguna dengan mudah menyesuaikan diri dan beralih ke arah jualan dan perbelanjaan dalam talian.

“Sektor yang tidak penting seperti pakaian boleh terus beroperasi dalam talian dan ia akan meminimumkan kerugian yang mungkin mereka hadapi akibat sekatan ini,” katanya.

Menerusi pelaksanaan sekatan sepenuhnya bermula esok, MIDF Research menjangkakan, kerajaan akan memperkenalkan satu lagi pakej rangsangan fiskal bagi mengurangkan impak PKP 4.0.

“Kuantum impak akan bergantung kepada saiz pakej rangsangan yang mana dijangka dikhususkan kepada sektor yang berkemungkinan terjejas teruk.

“Kami menjangkakan pakej rangsangan baharu ini akan merangkumi termasuk subsidi upah, lebih banyak geran untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro, moratorium bersasar berterusan dan pemberian bantuan tunai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.