PdPR: Kehadiran pelajar ke semua kelas jadi cabaran utama

[email protected]

Langkawi: Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang menarik menjadi cabaran besar kepada guru sejak penularan pandemik Covid-19 lebih setahun lalu.

Guru, Sufina Halim, 44, berkata, cabaran utama adalah mengajak semua pelajar untuk menghadiri setiap kelas dalam talian menerusi aplikasi Google Meet.

“Untuk itu, guru kena kekal bersemangat dan perlu sentiasa kreatif mencari idea terkini bagi menjadikan sesi pertemuan secara maya itu menyeronokkan.

“Guru bersemangat, maka pelajar pun akan bersemangat, begitu juga jika guru positif, momentum pelajar pun ikut tinggi,” katanya.

Beliau yang juga guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahsuri di sini, berkata cabaran lain adalah sukar memantau disiplin pelajar.

“Ketika PdPR, selain mengikuti kelas diajar guru, pelajar yang kurang berdisiplin mungkin turut aktif bermain permainan dalam talian,” katanya.

Bagi guru subjek Pendidikan Seni Visual, Siti Suhani Mohd Amir, 43, turut berpendapat cabaran guru sepanjang PdPR adalah mencari bahan pengajaran menarik.

“Guru perlu mencipta dan meneroka bahan atau medium pembelajaran yang terkini serta pelbagai bagi menarik minat pelajar mengikuti pembelajaran maya.

“Jika guru kurang bervariasi dalam menyediakan bahan pembelajaran, secara tidak langsung akan membuatkan pelajar cepat bosan dan meninggalkan PdPR,” katanya.

Beliau yang mengajar di SMK Ayer Hangat di sini, mengakui lebih gemar mengajar secara bersemuka berbanding PdPR kerana dapat menyelesaikan masalah pembelajaran pelajar secara langsung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.