Pukul, ludah anggota RELA

[email protected]

SITIAWAN: Berang kerana tidak dibenarkan masuk pasar lebih awal daripada waktu operasi, seorang lelaki bertindak di luar batasan apabila mengasari dan meludah seorang anggota RELA yang menjaga laluan pintu masuk pasar berkenaan kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.40 pagi, suspek berusia 52 tahun memukul mangsa iaitu lelaki berusia 45 tahun dengan tangan, mengeluarkan kata kesat dan meludah muka mangsa. Video memaparkan kejadian itu tular di WhatsApp dan WeChat.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata laporan polis berhubung kejadian itu dibuat mangsa pada jam 12.40 tengah hari semalam.

Menurutnya, kejadian bermula apabila mangsa menahan suspek daripada masuk kerana pasar akan mula dibuka dan beroperasi pada 7 pagi. Bagaimanapun, suspek tidak menghiraukan arahan dan mahu terus masuk ke pasar sebelum mangsa cuba melarang lalu berlaku pergelutan antara mereka.

“Suspek kemudian memukul mangsa dengan tangan selain mengeluarkan kata-kata kasar dan meludah muka anggota RELA itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, susulan itu pihaknya menahan suspek di rumahnya jam 8.50 malam semalam. Semakan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod kesalahan lampau penyalahgunaan dadah.

“Suspek direman empat hari bermula hari ini hingga Khamis ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.