Sabah tetapkan 70 peratus kerja dari rumah

[email protected]

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menetapkan 70 peratus penjawat awam di negeri ini bekerja dari rumah sepanjang sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, berkuat kuasa serta-merta.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, dalam kenyataan medianya malam tadi, berkata hanya 30 peratus kakitangan dibenarkan hadir di pejabat berbanding 60 peratus yang ditetapkan sebelum ini.

Katanya, keputusan itu diambil berikutan peningkatan kes COVID-19 yang membabitkan penjawat awam, di samping kewujudan pelbagai kluster di seluruh negeri.

“Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah COVID-19 menetapkan kehadiran kakitangan awam di organisasi masing-masing hendaklah sekurang- kurangnya 30 peratus di pejabat dan 70 peratus bekerja dari rumah. Arahan ini berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri turut mengetatkan lagi sekatan pergerakan orang ramai di negeri ini termasuk menyekat pergerakan penjawat awam dan swasta yang berulang-alik di antara Wilayah Persekutuan Labuan dan tanah besar Sabah.

Katanya, sekatan itu juga berkuat kuasa serta-merta bagi mengekang penularan COVID-19 membabitkan pasangan suami isteri yang berulang-alik ke pulau berkenaan.

“Bagi penjawat awam negeri dan persekutuan serta swasta yang berulang- alik di antara Sabah dan Labuan adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP 3.0 berkuat kuasa serta-merta.

“Larangan ini bagi mengekang penularan kes COVID-19 yang membabitkan pasangan suami isteri berulang alik dari Sabah ke Labuan yang setakat ini menyebabkan enam kes positif COVID-19 di Kampung Manggis, Kuala Penyu,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kerajaan negeri turut mengarahkan sekatan pergerakan di antara daerah Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang dikuat kuasa serta-merta.

Semua daerah itu sebelum ini dikategorikan sebagai satu daerah dan tiada sekatan kepada penduduknya untuk bergerak dalam ketiga-tiga daerah.

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira bilangan kes positif COVID-19 di ketiga-tiga daerah yang mencapai 70 kes pada hari ini (semalam).

“Sebagai usaha mengurangkan perjalanan yang tidak perlu maka orang awam tidak dibenarkan merentas daerah kecuali untuk perkhidmatan dan barangan perlu.

“Mulai esok (hari ini) polis akan melaksanakan pemeriksaan ketat kawalan larangan rentas daerah yang membabitkan tiga daerah ini,” katanya.

Selain itu, Masidi berkata kerajaan negeri juga memutuskan waktu operasi perniagaan di seluruh negeri dihadkan dari jam 9 pagi hingga jam 6 petang berbanding dari jam 7 pagi hingga 7 malam sebelum ini, kecuali pasar awam yang beroperasi mulai jam 6 pagi hingga 3 petang berkuat kuasa serta-merta.

Perubahan masa itu katanya, dibuat selepas mengambil kira situasi penularan COVID-19 yang terus meningkat dengan semalam saja merekodkan sebanyak 305 kes baharu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.