Survival politik atau selamat nyawa rakyat? Kerajaan kena tegas, kata PAS

Bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad, berkata sekiranya keadaan menjadi seperti di India, maka akan berlaku tindak balas dari rakyat dan jika diadakan pilihan raya umum kerajaan hari ini akan tumbang.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS menggesa kerajaan pusat menggunakan sepenuhnya kuasa diperuntukkan dalam proklamasi darurat bagi mengawal penularan Covid-19 yang kini pada tahap membimbangkan.

Bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad, berkata kerajaan ketika ini dilihat teragak-agak dan tidak tegas dalam melaksanakan tindakan seolah-olah bimbang dengan kecaman dan kritikan terhadap mereka.

“Untuk menyelamatkan nyawa rakyat, kerajaan perlu melakukan apa sahaja yang perlu walaupun tindakan dan langkah tersebut tidak popular.

“Selepas lima hari perintah kawalan pergerakan (PKP) diisytiharkan di Lembah Klang dan beberapa daerah lain di Selangor, namun tidak kelihatan perbezaan drastik antara ketika PKP dan sebelum PKP,” katanya dalam kenyatan selaku ketua penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan ( REACH).

Katanya, langkah tidak tegas itu menampakkan kerajaan seolah-olah lebih mementingkan survival politik.

“Kami berharap kerajaan perlu membuat keputusan yang mana satu perlu diutamakan, survival politik atau menyelamatkan nyawa?

“Sekiranya keadaan menjadi seperti di India maka akan berlaku tindak balas dari rakyat dan jika diadakan pilihan raya umum kerajaan hari ini akan tumbang,” katanya.

Katanya, jika wabak dapat dikawal rakyat akan berterima kasih kepada kerajaan dan ini akan diterjemahkan melalui peti undi.

Beliau berkata, rakyat yang tidak berpuas hati akan terus mengecam dan mengkritik apa saja dilakukan kerajaan, namun kerajaan perlu mengutamakan nyawa rakyat daripada melayan rasa tidak puas hati sebilangannya.

“Pelbagai perintah kawalan telah diumumkan. Pastikan ia dikuatkuasakan dengan tegas dan adil pada setiap rakyat Malaysia tanpa ada pilih kasih.

“Biarkan mereka yang mencari nombor terus mencari nombor, biarkan ‘pakar-pakar’ terus bersyarah di dalam TikTok dan biarkan ‘haters’ terus dengan pelbagai hashtag. Kerajaan perlu lakukan (tindakan) yang betul dan bukan yang popular,” katanya.

Read More
Sumber Web: Tempatan – Free Malaysia Today (FMT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.