Tajuddin bakal dikompaun RM1,500

[email protected].com.my

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bakal dikompaun RM1,500 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media pada 25 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata pihak Pejabat Peguam Negara sudah mengembalikan kertas siasatan berkaitan pelanggaran SOP oleh Tajuddin itu, semalam.

“Pejabat Peguam Negara memutuskan mengenakan kompaun RM1,500 ke atas beliau kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Tindakan itu selepas beliau gagal memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media berkaitan insiden kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen LRT KLCC seperti disyaratkan dalam SOP PKP yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 25 Mei lalu, Tajuddin mengadakan sidang media selepas melawat lokasi dua tren LRT bertembung dalam terowong berhampiran KLCC, di sini, dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup muka.

Mohamad Zainal berkata, tawaran kompaun sebanyak RM1,500 itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Pada 27 Mei lalu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung kes itu.

Pada hari berkenaan, polis turut merakam keterangan tiga kakitangan Prasarana dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi tujuan sama.

Syed Saddiq dirakam keterangan berhubung satu ciapan di akaun Twitternya mengenai tindakan Tajuddin yang tidak memakai pelitup muka ketika sidang media berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.