Viva Palestina Malaysia serah lebih banyak bantuan perubatan

[email protected]

KUALA LUMPUR: Tindakan tentera Israel yang menyasarkan serangan udara mereka terhadap institusi kesihatan akan memberi kesan yang amat buruk kepada sistem penjagaan kesihatan di Gaza.

Pengerusi Viva Palestina Malaysia (VPM), Datuk Dr Musa Mohd Nordin, berkata pihaknya bertindak segera dengan menghantar lebih banyak bekalan perubatan kepada Kementerian Kesihatan di Gaza yang bernilai RM42,000.

Katanya, sumbangan berjumlah RM126,000 untuk tujuan perubatan juga dihantar kepada lapan hospital amal di Gaza.

“Pada masa ini semakin ramai mangsa dirawat di hospital selepas pencerobohan ganas Israel memasuki hari kelapan.

“Kami sedang menyelaras proses pemindahan pesakit yang cedera daripada hospital-hospital di Gaza ke Hospital Al-Makassed, Timur Baitulmaqdis,” katanya kepada BH, hari ini.

Selain bantuan perubatan, Dr Musa berkata, organisasi itu turut mengambil berat aspek kemiskinan, makanan, bekalan air bersih dan tempat berlindung yang perlu ditangani dengan segera.

Katanya, VPM setakat ini sudah membina tujuh loji rawatan air masin untuk membekalkan air yang selamat dan bersih manakala 10 lagi masih dalam proses pelaksanaan.

“Kita juga membekalkan bakul makanan, memasak makanan panas untuk untuk keluarga yang hilang tempat tinggal serta pesakit dan keluarga yang menunggu di hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Musa turut menempelak alasan mempertahankan diri oleh Israel sedangkan mereka menyerang ibu pejabat Kementerian Kesihatan sehingga mengorbankan pegawai kesihatan termasuk dua doktor terkemuka iaitu Dr Mouin Aloul dan Dr Ayman Abu Al-Ouf.

Katanya, turut dilaporkan semalam ialah pengeboman sebuah makmal pusat yang menjadi tempat ujian virus COVID-19.

“Adakah ini tindakan mempertahankan diri? Ini adalah jenayah perang,” tegasnya.

Sumbangan kepada tabung Rayuan Kecemasan Palestin boleh dibuat kepada akaun Pertubuhan Viva Palestina Malaysia 5-64-324-601324 (Maybank) atau secara online dengan kerjasama dUCk di https://bit.ly/3tSaP9l #VIVAPALESTINA #GAZA.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.