MENGGABUNGKAN hampir 100 pelakon dan lebih 200 pekerja produksi dalam satu projek berskala besar bukanlah tugas yang mudah, lebih-lebih lagi dalam situasi pandemik Covid-19 seperti hari ini.
Namun, semua itu berjalan dengan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan tidak menjadi penghalang untuk produksi filem Juang meneruskan niat mereka untuk menyiapkan karya penuh makna ini.
Penerbit Eksekutif Juang, Matt Lai berkongsi cerita di sebalik pembikinan filem yang menggabungkan enam pengarah hebat tanah air ini.
“Filem Juang ini berkisar mengenai kisah-kisah petugas barisan hadapan. Ada enam cerita yang digabungkan dalam satu filem. Menariknya, setiap cerita itu diarahkan oleh enam pengarah berbeza.
“Pengarah-pengarah itu adalah Kabir Bhatia, Datuk Yusry Abdul Halim, Aziz M Osman, Osman Ali, Erma Fatima dan saya sendiri. Ia bukan sahaja filem yang memaparkan mengenai kisah petugas barisan hadapan, tetapi juga sebagai tanda penghargaan daripada kami pembikin filem tanah air,” katanya.
Matt yang juga penerbit syarikat produksi Asia Tropical Films Sdn Bhd berkata, ada cerita yang diinspirasikan daripada kisah benar.
“Antara petugas barisan hadapan yang kami paparkan adalah mengenai doktor, jururawat, polis, tentera, penghantar makanan dan ramai lagi.
“Ada cerita cereka dan ada juga kisah benar yang menjadi inspirasi untuk diadaptasikan ke dalam filem Juang ini.
“Antaranya, kisah bagaimana kerajaan kita menghantar bantuan ke Wuhan, China ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.
“Ada beberapa warganegara kita yang terperangkap di sana dan dibawa pulang. Jadi, itu antara inspirasi buat kami untuk dijadikan jalan cerita,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran untuk menggabungkan enam pengarah dalam satu filem, Matt berkata, setiap pengarah punya idea dan cara kerja tersendiri.
“Selepas merangka idea untuk projek ini, saya mencari setiap pengarah, berjumpa dan berbincang dengan mereka. Selain saya sebagai penerbit eksekutif, ada dua lagi penerbit eksekutif lain iaitu Datuk Rosyam Nor dari Suhan Movies dan Jack Lim dari The Film Engine.
“Untuk menggabungkan enam pengarah dalam satu filem memang mencabar kerana semuanya, ada konsep tersendiri. Tapi, saya gabungkannya mengikut konsep yang sudah dirancang kerana saya juga adalah penulis skrip untuk filem ini.
“Jadi, saya harap penonton dapat menonton satu karya dengan konsep serta idea yang baru seperti ini,” katanya.
Berkongsi mengenai SOP, tentunya ini menjadi cabaran terbesar yang perlu dilalui seluruh produksi filem Juang.
“SOP kami memang sangat ketat sebab pekerja produksi kami ramai. Jadi, kami pecahkan kepada dua tempat iaitu satu ruang yang menjadi pangkalan kami dan satu lagi tempat adalah sebagai set penggambaran.
“Ini adalah kerana kami tak mahu terlalu ramai orang berkumpul di satu tempat dalam satu masa. Jadi, hanya mereka yang terbabit dengan penggambaran pada waktu itu sahaja yang akan berada di set.
“Setiap kali hadir ke mana-mana lokasi penggambaran, semua pekerja produksi dan pelakon perlu mengimbas kod MySejahtera dan imbas suhu badan. Selain itu, SOP lain adalah penjarakan fizikal dan juga pengumuman untuk semua pekerja produksi serta pelakon menukar pelitup mulut dan hidung mereka, setiap empat jam,” katanya.
Tambahnya, setiap penggiat seni yang terbabit juga perlu menjalani ujian calitan sebelum penggambaran.
“Ini penting untuk keselamatan semua. Jadi, kalau ada pelakon atau pekerja produksi yang positif, dia perlu berhenti daripada terbabit dalam filem ini.
“Terima kasih juga kepada pasukan pembersihan dari Cuckoo yang membantu mensanitasi semua lokasi penggambaran kami sebelum penggambaran dimulakan,” katanya.
Kini, hampir keseluruhan penggambaran filem Juang sudah berjaya disiapkan sebelum PKP 3.0 dimulakan.
“Babak-babak penting semuanya sudah disiapkan. Sekarang, hanya tinggal berbaki lebih kurang dua hari saja lagi untuk kami siapkan babak-babak kecil dan mungkin akan menyambung semula penggambaran selepas PKP 3.0 ini selesai.
“Mengenai tarikh tayangan, kami menjangkakan tarikh yang sesuai adalah pada Hari Malaysia. Namun, semuanya bergantung kepada situasi. Kalau boleh, kami nak tayangkan filem ini apabila situasi pandemik di negara kita pulih.
“Jadi, pada ketika itu dapatlah kita semua menghayati jalan cerita dan mesej yang ingin kami sampaikan menerusi filem ini,” katanya.
Antara pelakon yang terbabit dalam filem Juang ini adalah Janna Nick, Zul Ariffin, Izzue Islam, Zizan Razak dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd
Read More
Sumber Web: Harian Metro