‘Beri masa kepada Sharifah Rose’

[email protected]

KUALA LUMPUR: Kemunculan selebriti media sosial atau Instafamous, Sharifah Rose, 23, dalam drama Kekasih Hati Mr Bodyguard yang sedang disiarkan slot Lestary di TV3, hangat diperkatakan terutama kebolehan gadis itu menghidupkan watak.

Mempersoalkan kewajaran penerbit dan stesen penyiar memilih personaliti media sosial sebagai pelakon drama berdasarkan faktor pengikut yang ramai, istilah pelakon ‘kayu’ atau ‘pokok’ mula dilemparkan kepada Sharifah Rose.

Berkongsi pandangan mengenai isu itu, pengarah popular, Shahrulezad Mohameddin meminta netizen dan penonton drama Kekasih Hati Mr Bodyguard memberi peluang kepada Sharifah Rose untuk memperbaiki mutu lakonan dari masa ke semasa.

Shahrulezad menganggap bakat Sharifah Rose boleh digilap sebaiknya jika dia mempunyai azam yang tinggi dan bersungguh-sungguh dalam karier seni.

“Kadang-kadang selebriti yang kita label ‘kayu’ ini akan menjadi artis yang hebat suatu hari nanti.

“Sharifah Rose saya lihat ada potensi untuk berjaya jika dia bersungguh-sungguh,” katanya kepada BH Online.

Mengaku pernah menolak atau ‘reject’ Sharifah Rose daripada beraksi dalam drama terbitannya, Shahrulezad berharap bakat baharu itu dapat membuktikan dirinya ikhlas dan menjauhi kontroversi merepek.

“Lihat saja Fattah Amin. Dia juga pernah kena ‘reject’ dengan syarikat produksi saya, Radius One.

“Namun, berkat kesungguhan dan rezeki, Fattah semakin bagus sekarang. Untuk pelakon atau bakat baru yang pernah kena ‘reject’, anda bukanlah tidak bagus, cuma bukan rezeki kita itu,” katanya.

Sharifah Rose memiliki lebih 700,000 pengikut di IG. Drama Kekasih Hati Mr Bodyguard disiarkan setiap Rabu hingga Sabtu di slot Lestary TV3 sejak 15 Mei lalu.

Redza membawa watak Hadif Akashah manakala Sharifah Rose sebagai Hana Aralyn yang menjalin hubungan cinta selepas bertemu untuk menyelesaikan suatu misteri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.