COVID-19: Terengganu kempen vaksin melalui khutbah Jumaat

[email protected]

KUALA TERENGGANU: Kempen kesedaran mengenai kepentingan pengambilan vaksin COVID-19, akan dilaksanakan melalui khutbah Jumaat di semua masjid negeri ini, bermula lusa.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin, berkata Jabatan Mufti negeri juga telah bersetuju untuk mengeluarkan fatwa meliputi hukum pengambilan vaksin COVID-19, dalam masa terdekat.

“Kempen kesedaran mengenai kepentingan masyarakat mengambil suntikan vaksin, akan disampaikan khatib melalui khutbah mulai Jumaat ini.

“Selain itu, imam dan bilal di semua masjid serta surau di negeri ini diminta untuk menguar-uarkan kempen suntikan vaksin COVID-19, sebelum dan selepas melaungkan azan solat,” katanya melalui sidang videonya, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan usaha mempromosi pengambilan imunisasi tidak hanya terhad kepada kerajaan.

Sebaliknya, Perdana Menteri dipetik sebagai berkata, pihak berkuasa agama negeri juga perlu berperanan memperbanyakkan program kesedaran berhubung kepentingan vaksin COVID-19.

Mengulas lanjut, M Rozi berkata, MAIDAM tiada halangan untuk turut membantu kerajaan memerangi penularan COVID-19, sekali gus melancarkan kempen kesedaran supaya masyarakat mendapatkan imunisasi COVID-19.

“Kita dimaklumkan bahawa jumlah penduduk di negeri ini yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 hanya 299,742 orang, setakat Ahad lalu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.