Kekurangan bekalan cip jejaskan pemulihan ekonomi

SAN FRANCISCO/TAIPEI: Kekurangan bekalan dalam industri semikonduktor yang menjejaskan syarikat pembuat automotif dan elektronik semakin parah, sekali gus menyukarkan pemulihan ekonomi global daripada pandemik COVID-19.

Tempoh menunggu cip, jurang antara pesanan cip dan penghantaran, meningkat menjadi 17 minggu pada April, menunjukkan pengguna semakin terdesak untuk mendapatkan bekalan, demikian mengikut penyelidikan oleh Susquehanna Financial Group.

Ia adalah tempoh menunggu paling lama sejak syarikat itu mulai menjejaki data pada 2017, dalam apa yang digambarkannya sebagai ‘zon bahaya’.

“Semua kategori produk utama meningkat,” kata penganalisis Susquehanna, Chris Rolland dalam notanya pada Selasa, dengan menyebut pengurusan kuasa dan tempoh menunggu cip analog adalah antaranya.

“Ini adalah beberapa kenaikan terbesar sejak kami mulai menjejaki data,” katanya.

Kekurangan cip melanda industri demi industri, menghalang syarikat menghantar produk daripada kereta hinggalah konsol permainan dan peti sejuk.

Pembuat kenderaan kini dijangka kehilangan penjualan AS$110 bilion (RM453.92 bilion) tahun ini apabila Ford Motor Co, General Motors Co dan yang lain terpaksa membiarkan operasi kilang tidak berjalan kerana kekurangan komponen penting.

Keadaan itu melemahkan pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan, serta meningkatkan kebimbangan terhadap pesanan panik yang boleh menyebabkan gangguan pada masa depan.

Industri cip dan pelanggannya melihat waktu menunggu sebagai petunjuk keseimbangan antara penawaran dan permintaan.

Jurang yang melebar menunjukkan bahawa pembeli semikonduktor lebih bersedia untuk memberikan komitmen pada masa depan untuk mengelakkan kekurangan yang berulang.

Penganalisis mengesan angka itu sebagai petanda timbunan yang boleh menyebabkan pengumpulan inventori terlalu banyak dan penurunan pesanan secara tiba-tiba.

“Masa menunggu yang meningkat sering memaksa ‘tingkah laku buruk’ kepada pelanggan, termasuk pengumpulan inventori, penyimpanan stok keselamatan dan pesanan berganda,” kata Rolland.

“Trend ini mungkin mendorong industri semikonduktor berada pada tahap awal penghantaran melebihi permintaan pelanggan sebenar,” katanya.

Situasi itu dirumitkan lagi oleh peningkatan semula kes COVID-19 di Taiwan, lokasi utama pembuatan cip.

Negara itu telah menutup sekolah, mengekang pertemuan sosial, dan menutup muzium dan kemudahan awam.

Ketika perniagaan dan kilang beroperasi, kerajaan mungkin mempertimbangkan sekatan yang lebih luas.

-Bloomberg

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.