Tilawah, hafazan al-Quran peringkat kebangsaan ditangguh

PUTRAJAYA: Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1442H/2021M yang dijadualkan dari 13 hingga 18 Jun depan di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) ditangguhkan ke satu tarikh akan dimaklumkan kelak.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh, berkata penangguhan ini dibuat selaras keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula esok hingga 7 Jun depan.

“Keputusan ini juga wajar dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19 semasa, selain kekangan masa dan keterbatasan pergerakan jawatankuasa melaksanakan kerja persiapan MTHQK 1442H/2021M di sepanjang tempoh penguatkuasaan PKP,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penangguhan MTHQK itu mendapat persetujuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk MTHQK, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Bagi pihak Jawatankuasa Induk MTHQK, JAKIM mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen negeri yang membuat persiapan menyertai MTHQK pada tahun ini,” katanya. – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.