Dakwaan 6 pekerja pasar raya positif Covid-19 palsu

[email protected]

Kuala Pilah: Dakwaan bahawa terdapat enam pekerja sebuah pasar raya di daerah ini positif Covid-19 yang tular di laman sosial sejak Isnin adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, hanya seorang pekerja pasar raya itu yang disahkan positif Covid-19 pada Sabtu lalu.

“Setakat ini pihak berkuasa kesihatan mengesahkan hanya seorang pekerja pasar raya yang positif wabak terbabit.

“Proses sanitasi sudah dilakukan oleh pihak berkuasa pada Sabtu dan operasi pasar raya itu berjalan seperti biasa selepas proses terbabit.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terus berkongsi berita tidak sahih sehingga boleh mencetuskan situasi panik dalam masyarakat,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pada Isnin, satu mesej tular di WhatsApp yang menggesa orang ramai supaya tidak datang membeli-belah di sebuah pasar raya di daerah ini berikutan terdapat beberapa pekerja positif Covid-19.

Sementara itu, Mohd Faizal yang juga Pegawai Daerah Kuala Pilah berkata, sehingga semalam, terdapat peningkatan kes Covid-19 di daerah itu sehingga menyebabkan daerah berkenaan bertukar menjadi zon jingga.

“Terdapat lapan kes baharu Covid-19 direkodkan iaitu enam kes tempatan dan dua import menjadikan 32 kes aktif setakat ini.

“Saya mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dikuat kuasa untuk sama-sama membantu memutuskan rantaian pandemik ini,” katanya.

Sementara itu, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dalam kenyataannya semalam, merekodkan 149 kes baharu Covid-19 setakat tengah hari semalam berbanding 243 kes pada Isnin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Read More
Sumber Web: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

close